You are currently viewing Lindungi Nyawa: Menjaga Keselamatan Semasa Gempa Bumi

Lindungi Nyawa: Menjaga Keselamatan Semasa Gempa Bumi

  • Post category:Melayu

Gempa bumi merupakan bencana alam yang boleh melanda tanpa amaran yang menyebabkan pelbagai kesan kerosakan. Persiapan diri dan pengetahaun dalam melindungi diri serta orang tersayang adalah penting agar kekal selamat. Melalui blog ini, kita akan mempelajari panduan penting bagi menyelamatkan nyawa anda jika berlakunya gempa bumi. Dengan mengikuti langkah berjaga-jaga yang disediakan, anda berupaya untuk mengurangkan risiko yang bakal dihadapi kelak dan seterusnya meningkatkan lagi peluang untuk anda kekal selamat dalam bencana alam sedemikian.

Wujudkan Satu Pelan Kecemasan

Mewujudkan satu pelan kecemasan yang komprehensif adalah penting sebagai persiapan menghadapi bencana gempa bumi. Bincang dan telitikan laluan evakuasi yang selamat, titik lokasi perjumpaan yang ditetapkan, dan maklumat perhubungan anggota keluarga atau ahli isi rumah anda. Pastikan kesemua mereka memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan jelas sewaktu gempa bumi berlaku, disamping melakukan latihan secara berkala bagi memperkukuhkan lagi pelan tersebut.

Satu tips pantas ialah dengan menggunakan aplikasi iSharing dan menetapkan titik lokasi perjumpaan untuk keluarga anda sebagai “Tempat”. Ini bermakna jika bencana alam melanda, keluarga anda dapat mengetahui keberadaan antara satu sama lain serta memberikan panduan arah untuk menuju ke lokasi perjumpaan yang ditetapkan.

Wujudkan Ruang Persekitaran Yang Selamat

Ambil langkah-langkah yang diperlukan bagi mewujudkan satu persekitaran ruang tinggal atau tempat kerja anda yang selamat agar berupaya mencegah risiko kecederaan serta mengurangkan kadar kerosakan yang bakal berlaku kelak. Kenal pasti juga peralatan yang membahayakan seperti perabot berat, perkakasan elektrik, ataupun objek-objek tergantung yang berkemungkinan besar akan jatuh menghempap sewaktu gempa bumi berlaku. Sebagai langkah keselamatan, objek tersebut perlulah diketat, dilekat atau diikatkan ke dinding menggunakan tali, pendakap, ataupun sebarang jenis pemegang yang bersesuaian. Selain itu, sila pastikan kesemua jenis bahan mudah terbakar, bahan kimia, mahupun objek-objek tajam di simpan dengan selamat dan berada jauh dari sumber api.

Sediakan Kit Kecemasan

Memiliki kit kecemasan yang mudah dicapai dan dicari adalah penting sebagai sokongan hayat sewaktu agensi penyelamat berdepan dengan masalah kelewatan yang sering berlaku sejurus kejadian gempa bumi. Kit anda perlu mengandungi bekalan air, makanan yang tidak mudah rosak, kit pertolongan cemas, lampu suluh, sumber bateri, radio menggunakan bateri, selimut, peralatan serba guna (seperti pisau, pemotong, dan lain-lain), wisel peniup, serta ubat-ubatan lain yang diperlukan. Sesuaikan kandungan kit berdasarkan keperluan ahli keluarga anda masing-masing, termasuklah bayi, warga emas, mahupun haiwan kesayangan.

Kenalpasti Zon Selamat

Semasa gempa bumi berlaku, adalah penting untuk mengenalpasti zon selamat di sekitar ruang tempat tinggal atau tempat kerja anda. Selamtkan diri terlebih dahulu dengan duduk di bawah perabot yang kukuh seperti meja atau meja pejabat sambil lindungi kepala dan leher anda. Sebagai langkah keselamatan, sila jauhi tingkap, kaca, cermin, dan objek berat yang berpotensi tinggi untuk pecah atau jatuh. Jika anda berada di luar, segera bergegas ke kawasan terbuka yang jauh dari kawasan bangunan, lampu jalan, kabel elektrik atau utiliti, serta pokok.

Sentiasa Peka Perkembangan Terkini

Pastikan anda sentiasa mendapat maklumat terkini tentang risiko gempa bumi, amaran, dan prosedur evakuasi di kawasan anda. Muat turun aplikasi mudah alih atau langgani khidmat pesanan ringkas tentang amaran yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan atau agensi kerajaan seperti METMalaysia. Sila memantau aktiviti seismik melalui sumber yang sahih dan patuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dengan segera.

Jangan Panik dan Bantu Orang Lain

Sentiasa tenang dan jangan panik sewaktu berlakunya gempa bumi. Perasaan panik dan cemas boleh menganggu pertimbangan anda untuk membuat keputusan dan seterusnya menjejaskan kemampuan anda untuk melindungi diri sendiri serta orang lain. Jika anda melihat seseorang yang memerlukan bantuan, berikanlah bantuan jika keadaan pada masa tersebut selamat untuk berbuat demikian. Sejurus gempa bumi berhenti, periksa kecederaan dan berikan pertolongan cemas, jika perlu. Sila maklum bahawa agensi penyelamat berkemungkinan mengalami kelewatan untuk tiba di lokasi-lokasi tertentu. Justeru, adalah amat disyorkan jika anda memiliki pengetahuan asas bagi melakukan pertolongan cemas (latihan dan sijil disediakan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah dan St.John Malaysia).

Realitinya, agak mustahil untuk kita meramalkan dengan tepat bila atau di manakah gempa bumi akan berlaku kelak terutamanya di kawasan kita. Justeru, adalah penting untuk kita mengambil sebarang langkah proaktif bagi memastikan keselamatan anda dan orang yang tersayang sewaktu gempa bumi melanda. Ia boleh dimulakan dengan membuatkan pelan kecemasan, memastikan ruang persekitaran tempat tinggal dan tempat kerja yang selamat termasuklah menguatkan struktur bangunan, menyediakan kit kecemasan, mengenalpasti zon selamat, sentiasa peka dengan maklumat terkini, serta menjaga diri sendiri dan membantu orang lain. Ingatlah, persediaan tersebut meskipun kecil sifatnya, namun mampu menyelamatkan nyawa ramai orang ketika menghadapi bencana alam yang hebat sedemikian. Kekal selamat, kekal peka, dan kekal bernyawa.

Team iSharing

Track a cell phone location for free with iSharing Location Sharing App (https://isharingsoft.com)